![]() |
| Jennifer Lopez. |
JENNIFER Lynn Lopez atau lebih terkenal dengan panggilan Jennifer Lopez atau Jenny atau J.Lo bukan sahaja seorang penyanyi dan pelakon yang hebat.
Lebih daripada itu, dia yang dilahirkan pada 24 Julai 1969 juga merupakan seorang pencipta lagu, penerbit album, penari, pereka fesyen dan penerbit program televisyen.
Jadi tidak hairanlah jika Forbes menyenaraikan Lopez sebagai individu berdarah Amerika Latin yang paling kaya di Hollywood dan menjadi penghibur Hispanic paling berpengaruh di Amerika, menurut majalah People en Español's dalam senarai 100 Hispanic Paling Berpengaruh.
Walaupun seringkali hanya akan ketawa apabila dikisahkan tentang hartanya yang dikatakan bernilai $1 billion namun tidak boleh disangkal bahawa dia mempunyai aset teguh untuk mengukuhkan empayarnya.
Watak pertamanya dalam filem Selena (1997) nyata tidak sahaja mengangkat namanya sebagai aktres dan penyanyi malah menjadikannya seorang simbol seks.
Jadi bukan sesuatu yang mustahil kejayaan cemerlang di Hollywood menjadi Lopez antara artis paling tinggi bayarannya dalam sejarah Hollywood selain muncul dalam Guinness World Records (2007) sebagai artis paling berkuasa.
Justeru tidak hairanlah kalau dia menerima bayaran sebanyak $15 juta bagi peranannya dalam filem Monster-in-Law. Bukan itu sahaja, albumnya sahaja terjual 48 juta salinan di seluruh dunia menjadikan harta kekayaan yang dikaut Lopez menerusi kerjayanya dalam bidang seni dan perniagaan dianggarkan bernilai $110 juta.
Bermula 1999, Lopez yang dilahir dan dibesarkan di Bronx, New York ini telah menghasilkan tujuh buah album termasuk dua daripadanya menduduki tangga teratas carta Billboard 200 dengan empat single pertama Billboard Hot 100.
Pernah memenangi Anugerah Muzik Amerika pada 2003 bagi kategori Favorite Pop/Rock Female Artist dan Favorite Latin Artist pada 2007 pada majlis penganugerahan yang sama.
Album terbarunya, Brave, Jennifer berkolaborasi dengan penerbit seperti J.R. Rotem, Ryan Tedder, Middi Mafia dan Bloodshy dan single pertamanya, Do It Well telah memanaskan stesen-stesen radio di Amerika Syarikat.
Sementara filem-filemnya seperti Selena, Out of Sight dan Angel Eyes telah mengangkat anak kepada guru tadika dan pakar komputer ini sebagai aktres terbaik Anugerah ALMA.
Pada 2003, Lopez melancarkan himpunan pakaiannya yang dinamakan JLO by Jennifer Lopez yang merangkumi jeans, t-shirt, kot, tali pinggang, dompet dan pakaian dalam serta perhiasan.
Menyertai kempen musim sejuk Louis Vuitton pada 2003, 2005 Lopez melancarkan himpunan baru pakaiannya yang diberi nama Sweetface dan pada akhir 2007, Lopez menutup JLO by Jennifer Lopez dan melancarkan pula koleksi pakaian kanak-kanak JustSweet.
Lopez juga memiliki restoran Madre yang menyajikan masakan Cuba selain mencuba industri parfum dan melahirkan parfum pertamanya, Glow by J.Lo pada 2002 yang memecahkan rekod jualan.
Dia juga memperkenalkan parfum Still setahun kemudian selain beberapa edisi terhad Glow dengan nama Miami Glow by J.Lo.
Semasa Krismas 2005, dia melancarkan parfum barunya Live by Jennifer Lopez dan untuk meraikan Valentine's Day 2006, dia melancarkan, Love at First Glow by J.Lo. Parfum terkininya dipanggil Live Luxe dan dilancarkan pada Ogos 2006 sebelum melancarkan Glow After Dark setahun kemudian.
Dia juga mempunyai produksi televisyen dan filem yang diberi nama Nuyorican Productions yang dimiliki bersama pengurusnya Benny Medina. Judd, bekas suaminya juga merupakan antara pemegang saham ketika mereka masih bergelar suami isteri.
Menjadi antara 50 Tercantik dalam majalah People en Español pada 2006, pun begitu, perhatian media tidak sahaja tertumpu kepada kejayaannya dalam bidang seni serta kemasyhurannya perniagaan seperti fesyen dan restoran selain endorsan yang menawarkan jutaan dolar kepada Lopez.
Kehidupan peribadinya turut menjadi hambatan media termasuk kisah-kisah cintanya bersama Ojani Noa dan Cris Judd yang juga merupakan bekas suaminya, juga bekas-bekas kekasihnya, Sean Combs dan Ben Affleck yang juga terkenal dengan gelaran Bennifer.
Dan sejurus selepas perpisahannya dengan Affleck, Lopez dilihat keluar bersama-sama penyanyi Latin, Marc Anthony yang juga merupakan teman lamanya.
Pasangan ini kemudiannya berkahwin secara senyap pada 5 Jun 2004, empat hari selepas kes perceraian Anthony dengan bekas isterinya, Dayanara Torres yang juga bekas Miss Universe selesai.
Hanya 40 ahli keluarga dan rakan terdekat yang menghadiri majlis perkahwinan penuh rahsia itu dan Lopez hanya mengakui mengenai perkara itu setahun kemudian.
Ketika ini, tiada apa yang lebih membahagiakan buat Lopez selain mengabadikan dirinya kepada Max dan Emme, sepasang kembar yang dilahirkannya pada 22 Februari lalu. Kembar itu juga merupakan buah cinta sulung Lopez buat suaminya tetapi merupakan anak keempat dan kelima buat Anthony.
Sebagai ibu kepada anak perempuan Emme yang lahir pada 12.12 pagi dan diikuti anak lelaki, Max pada 12.23 pagi, sememangnya cahaya mata itu lahir bagi menyempurnakan kehidupan Lopez - Anthony.
Lopez sendiri ternyata amat teruja bergelar seorang ibu pada usia 38 tahun. Malah teman-teman Lopez menganggap kehadiran si kembar comel itu telah menjadikan Lopez seperti diawang-awangan.
Begitu juga dengan Anthony yang memang mengimpikan kelahiran anak perempuan dan kini menjadi ayah kepada anak wanita kesayangannya. Dan selepas menanti kehadiran cahaya mata sejak sekian lama, Max dan Emme menjadi titik pengubah kehidupan seorang Jennifer Lopez.
“Ia impian yang menjadi kenyataan. Dia memang seorang yang sayangkan kanak-kanak,” demikian ulas teman-teman Lopez mengenai Max atau nama sebenarnya Maximilian David dan Emme atau Emme Maribel yang dilahirkan menerusi pembedahan.
Malah menurut teman baik Lopez, penerbit Elaine Glodsmith-Thomas, sejak melahirkan kembarnya itu, Lopez tidak mahu langsung berenggang dengan anak-anaknya.
“Sememangnya Jennifer dan Marc sudah bersedia untuk berkeluarga. Mereka saling sayang menyayangi dan telah membina sebuah kehidupan yang bahagia bersama.
“Cuma yang tiada hanyalah tawa dan tangis anak-anak dan kini mereka sudahpun memilikinya,“ kata Goldsmith-Thomas yang juga merupakan penerbit filem Maid in Manhattan yang dilakonkan Lopez beberapa tahun lalu.
Dan jangan tak tahu, Lopez juga pernah menitiskan air mata gembira ketika teman-teman memanggilnya dengan panggilan ‘mama’ ketika hadir ke majlis meraikan kandungannya tidak berapa lama dahulu.
Biarpun terdapat dakwaan mengatakan bahawa Lopez sukar mengandung dan terpaksa melakukan proses permanian berhadas dalam usaha untuk hamil, tidak kira apa pun yang dilemparkan kepadanya Lopez ternyata amat menyenangi proses kehamilan yang dialaminya selama sembilan bulan itu.
Malah dalam proses kehamilannya itu, Lopez turut mengurangkan aktiviti seninya walaupun ketika itu album terbarunya, Brave dilancarkan.
Kali terakhir Lopez mengadakan persembahan di pentas mega adalah ketika menjayakan jelajah En Concierto bersama Anthony walaupun ketika itu Lopez sedang hamil namun tidak pernah mengakuinya.
Biar sudah nampak perutnya memboyot, hanya ketika persembahan mereka di Miami, Lopez membuat kenyataan terbuka bahawa dia sedang mengandung sekalipun sebelum itu dia merahsiakan kehamilannya yang sebenarnya sudah tidak menjadi rahsia lagi.
“Ini masa-masa istimewa dalam kehidupan kami dan kami menanti sehingga persembahan terakhir untuk memaklumkan kepada anda semua,” demikian kata-kata Lopez yang disambut sorak dan tepukan daripada peminatnya.
Dan kini selepas melahirkan, Lopez ternyata tidak sahaja gembira malah berbahagia dapat memberikan sesuatu yang paling bermakna buat Anthony yang menjadi kesayangannya.
Malah antara insan yang turut meraikan kegembiraan Lopez itu ialah bekas kekasihnya, Sean ‘Diddy’ Combs yang sempat memberikan cenderamata berupa barangan rangkaian jenama bayi Sean John miliknya.
“Saya pasti Lopez mampu menjadi seorang ibu yang hebat,” kata Diddy.
Dan tentu sahaja si jelita yang terkenal kerana keindahan tubuhnya itu kini sedang berbahagia dengan tiga permata hatinya - Anthony, Max dan Emme.
“Ia penuh keajaiban,” kata Lopez mengenai kecintaan baru dalam kehidupannya - menyusukan bayi-bayinya, menukar lampin dan mendodoikan mereka

No comments:
Post a Comment